Duit online

Tuesday, January 25, 2011

Mak Nani obses drama Korea



Mak Nani bersama suami, Jamil Sulong serta teman seperjuangan dan kenalan di Bukit Utama, Damansara baru-baru ini.


SEPERTI mana suami tercinta, Datuk Jamil Sulong yang masih kental semangat juang dalam bidang seni, begitu juga perasaan yang sama dimiliki oleh Datuk Rosnani Jamil atau lebih mesra disapa Mak Nani.
Mengabdikan diri selama 58 tahun dalam dunia seni, Mak Nani mengakui sukar untuk melepaskan gelaran seniwati yang sudah sebati dalam dirinya itu.
Biarpun usianya sudah mencecah 75 tahun pada 20 Januari lalu, Mak Nani masih lagi bersemangat mahu berkarya dan mempunyai keinginan untuk mengarahkan filem baru.
"Dalam simpanan Mak, masih ada beberapa skrip yang masih belum diselesaikan dan insya-Allah, satu hari nanti Mak mahu mengarahkan drama serta filem baru.
"Tetapi Mak juga kena faham dan akur dengan situasi Mak sekarang ini yang sudah tidak memiliki tenaga seperti zaman muda dahulu untuk membuat kerja-kerja seni yang pernah Mak lakukan.
"Mak pun sudah mengurangkan aktiviti lakonan dan hanya akan menerima tawaran seandainya watak serta skrip itu benar-benar mencabar kredibiliti Mak sebagai seorang aktres," luah primadona yang gemar membahasakan dirinya sebagai Mak itu lagi.
Kali terakhir Mak Nani muncul adalah menerusi drama bersiri Suraya yang ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3 sekitar tahun 2009.
Penampilannya di layar lebar pula, kali terakhir lakonannya dapat ditonton adalah menerusi filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang yang ditayangkan kira-kira dua tahun lalu.
Jika teman seperjuangannya yang sama-sama mewarnai zaman Studio Jalan Ampas bersama Mak Nani rata-rata sudah bersara mahupun meninggal dunia, seniwati ini masih lagi teguh berdiri di persada seni.
Sememangnya bakat primadona hebat kelahiran Padang, Sumatera ini tiada tandingannya. Bukan hanya berbakat besar dalam bidang lakonan dan tarian, malah kredibilitinya sebagai seorang pengarah juga tidak boleh dipertikaikan.
Menerusi syarikat produksinya, RJ Filem Sdn. Bhd., Mak Nani memberanikan diri mengarahkan dan menerbitkan filem pertamanya, Mawar Merah pada tahun 1987 dengan allahyarham Mustafa Noor dan Raja Ema sebagai teraju utama, Mawar Merah diterima baik bukan sahaja dari segi kutipan tiket malah juga pengiktirafan di Festival Filem Malaysia Ketujuh pada tahun yang sama.
Buktinya, Mawar Merah menggondol empat anugerah utama termasuk Pelakon Lelaki Terbaik untuk Mustafa Noor, Cerita Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Bintang Harapan Wanita (Raja Ema).
Mak Nani sendiri dicalonkan untuk Pengarah Terbaik dan filem itu sendiri tercalon sebagai Filem Terbaik.
Kejayaan filem itu telah mendorong pemilik nama penuh Rosnani Ludin ini mengarahkan filem-filem seterusnya iaitu Antara Dua Hati, Pak Tam Duda (arahan bersama A.R. Badul), Memory, Amelia dan terakhir, Bicara Hati pada tahun 2004.
Apakah kegagalan filem Bicara Hati lakonan Fazura itu membuatkan Mak Nani tawar hati untuk meneruskan legasi seninya sebagai pengarah wanita tersohor negara?
Hanya tersenyum, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Kelima (1984) menerusi filem Jasmin ini pantas menggelengkan kepalanya sambil memberitahu: "Bukan soal merajuk. Kalau Mak merajuk, tidak adalah Mak buat skrip baru.
"Tetapi macam Mak cakap tadi, dalam usia Mak ini, Mak sudah penat dan tenaga pun tidak kuat lagi untuk aktif seperti dulu. Bukan tidak ada pihak yang mahu membeli skrip Mak itu, tetapi Mak rasa biarlah Mak simpan dahulu.
"Bukan apa, kalau skrip itu mendapat sentuhan orang lain, Mak tidak rasa keaslian dan jiwa Mak di situ. Jadi, buat masa ini biarlah skrip itu Mak simpan dulu."
Namun, obsesi Mak Nani terhadap drama-drama Korea membuatkan perasaannya meluap-luap untuk kembali menduduki kerusi pengarah.
Katanya, dia begitu kagum dengan budaya rakyat Korea yang ditampilkan dalam drama-drama mereka yang disifatkannya begitu jujur, ikhlas dan praktikal.
"Jalan cerita yang diketengahkan memang bagi Mak cukup bagus. Bukan Mak mengagungkan produk luar tetapi itu adalah realiti yang Mak rasa tidak boleh dinafikan.
"Para pelakonnya juga tidak mengenakan solekan tebal seperti mana kebanyakan dalam drama tempatan yang ada kalanya kelihatan sungguh tidak logik.
"Jadi, apabila sudah menonton dan asyik dengan drama Korea ini, tiba-tiba perasaan itu datang untuk kembali mengarah. Mak mahu memperbaiki kelemahan lalu itu dengan mengaplikasikan teknik pengarahan baru," katanya sambil menunjukkan isyarat bagus untuk drama Korea berjudul The Slave Hunters.
Dalam masa yang sama, Mak Nani meluahkan isi hatinya terhadap perkembangan industri seni berdasarkan pemerhatiannya selama ini.
Katanya, sikap pelakon zaman sekarang memang jauh berbeza ketika era kegemilangan filem Melayu yang pernah ditempuhinya dulu.
"Sekarang ini, memang cukup memenatkan apabila kita perlu berdepan dengan sikap dan kerenah pelakon muda yang membuatkan Mak kadang-kala rasa sakit hati dan sakit mata melihatnya.
"Itulah juga antara faktor mengapa Mak mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti lakonan kerana penat untuk melayan sikap mereka ini," kata ibu kepada tiga orang anak lelaki, Arjunaidi, 49; Anwardi, 48; dan Asnadi, 41.

SUMBER BERITA

No comments:

Post a Comment