Duit online

Tuesday, January 25, 2011

Mak Nani obses drama Korea



Mak Nani bersama suami, Jamil Sulong serta teman seperjuangan dan kenalan di Bukit Utama, Damansara baru-baru ini.


SEPERTI mana suami tercinta, Datuk Jamil Sulong yang masih kental semangat juang dalam bidang seni, begitu juga perasaan yang sama dimiliki oleh Datuk Rosnani Jamil atau lebih mesra disapa Mak Nani.
Mengabdikan diri selama 58 tahun dalam dunia seni, Mak Nani mengakui sukar untuk melepaskan gelaran seniwati yang sudah sebati dalam dirinya itu.
Biarpun usianya sudah mencecah 75 tahun pada 20 Januari lalu, Mak Nani masih lagi bersemangat mahu berkarya dan mempunyai keinginan untuk mengarahkan filem baru.
"Dalam simpanan Mak, masih ada beberapa skrip yang masih belum diselesaikan dan insya-Allah, satu hari nanti Mak mahu mengarahkan drama serta filem baru.
"Tetapi Mak juga kena faham dan akur dengan situasi Mak sekarang ini yang sudah tidak memiliki tenaga seperti zaman muda dahulu untuk membuat kerja-kerja seni yang pernah Mak lakukan.
"Mak pun sudah mengurangkan aktiviti lakonan dan hanya akan menerima tawaran seandainya watak serta skrip itu benar-benar mencabar kredibiliti Mak sebagai seorang aktres," luah primadona yang gemar membahasakan dirinya sebagai Mak itu lagi.
Kali terakhir Mak Nani muncul adalah menerusi drama bersiri Suraya yang ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3 sekitar tahun 2009.
Penampilannya di layar lebar pula, kali terakhir lakonannya dapat ditonton adalah menerusi filem Lembing Awang Pulang Ke Dayang yang ditayangkan kira-kira dua tahun lalu.
Jika teman seperjuangannya yang sama-sama mewarnai zaman Studio Jalan Ampas bersama Mak Nani rata-rata sudah bersara mahupun meninggal dunia, seniwati ini masih lagi teguh berdiri di persada seni.
Sememangnya bakat primadona hebat kelahiran Padang, Sumatera ini tiada tandingannya. Bukan hanya berbakat besar dalam bidang lakonan dan tarian, malah kredibilitinya sebagai seorang pengarah juga tidak boleh dipertikaikan.
Menerusi syarikat produksinya, RJ Filem Sdn. Bhd., Mak Nani memberanikan diri mengarahkan dan menerbitkan filem pertamanya, Mawar Merah pada tahun 1987 dengan allahyarham Mustafa Noor dan Raja Ema sebagai teraju utama, Mawar Merah diterima baik bukan sahaja dari segi kutipan tiket malah juga pengiktirafan di Festival Filem Malaysia Ketujuh pada tahun yang sama.
Buktinya, Mawar Merah menggondol empat anugerah utama termasuk Pelakon Lelaki Terbaik untuk Mustafa Noor, Cerita Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Bintang Harapan Wanita (Raja Ema).
Mak Nani sendiri dicalonkan untuk Pengarah Terbaik dan filem itu sendiri tercalon sebagai Filem Terbaik.
Kejayaan filem itu telah mendorong pemilik nama penuh Rosnani Ludin ini mengarahkan filem-filem seterusnya iaitu Antara Dua Hati, Pak Tam Duda (arahan bersama A.R. Badul), Memory, Amelia dan terakhir, Bicara Hati pada tahun 2004.
Apakah kegagalan filem Bicara Hati lakonan Fazura itu membuatkan Mak Nani tawar hati untuk meneruskan legasi seninya sebagai pengarah wanita tersohor negara?
Hanya tersenyum, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Kelima (1984) menerusi filem Jasmin ini pantas menggelengkan kepalanya sambil memberitahu: "Bukan soal merajuk. Kalau Mak merajuk, tidak adalah Mak buat skrip baru.
"Tetapi macam Mak cakap tadi, dalam usia Mak ini, Mak sudah penat dan tenaga pun tidak kuat lagi untuk aktif seperti dulu. Bukan tidak ada pihak yang mahu membeli skrip Mak itu, tetapi Mak rasa biarlah Mak simpan dahulu.
"Bukan apa, kalau skrip itu mendapat sentuhan orang lain, Mak tidak rasa keaslian dan jiwa Mak di situ. Jadi, buat masa ini biarlah skrip itu Mak simpan dulu."
Namun, obsesi Mak Nani terhadap drama-drama Korea membuatkan perasaannya meluap-luap untuk kembali menduduki kerusi pengarah.
Katanya, dia begitu kagum dengan budaya rakyat Korea yang ditampilkan dalam drama-drama mereka yang disifatkannya begitu jujur, ikhlas dan praktikal.
"Jalan cerita yang diketengahkan memang bagi Mak cukup bagus. Bukan Mak mengagungkan produk luar tetapi itu adalah realiti yang Mak rasa tidak boleh dinafikan.
"Para pelakonnya juga tidak mengenakan solekan tebal seperti mana kebanyakan dalam drama tempatan yang ada kalanya kelihatan sungguh tidak logik.
"Jadi, apabila sudah menonton dan asyik dengan drama Korea ini, tiba-tiba perasaan itu datang untuk kembali mengarah. Mak mahu memperbaiki kelemahan lalu itu dengan mengaplikasikan teknik pengarahan baru," katanya sambil menunjukkan isyarat bagus untuk drama Korea berjudul The Slave Hunters.
Dalam masa yang sama, Mak Nani meluahkan isi hatinya terhadap perkembangan industri seni berdasarkan pemerhatiannya selama ini.
Katanya, sikap pelakon zaman sekarang memang jauh berbeza ketika era kegemilangan filem Melayu yang pernah ditempuhinya dulu.
"Sekarang ini, memang cukup memenatkan apabila kita perlu berdepan dengan sikap dan kerenah pelakon muda yang membuatkan Mak kadang-kala rasa sakit hati dan sakit mata melihatnya.
"Itulah juga antara faktor mengapa Mak mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti lakonan kerana penat untuk melayan sikap mereka ini," kata ibu kepada tiga orang anak lelaki, Arjunaidi, 49; Anwardi, 48; dan Asnadi, 41.

SUMBER BERITA

Saturday, January 22, 2011

Aida Khalida kini tauke tudung



GAYA USAHAWAN... Aida Khalida menunjukkan koleksi tudungnya yang turut dijual pada majlis pelancaran tudung Aida Khalida
di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Damansara baru-baru ini.


BERMULA daripada impian, akhirnya ia menjadi kenyataan. Pelakon terkenal, Aida Khalida atau dahulunya cukup sinonim dengan nama Aida Rahim kini sudah mula melangkah ke alam perniagaan pula.
Baru-baru ini, bertempat di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Damansara dilancarkan jenama tudungnya sendiri iaitu Aida Khalida yang menyenaraikan sebanyak 15 rekaan yang menarik dan segar.
Tudung yang berharga antara RM50 hingga RM190 di bawah jenama tersebut termasuklah Adiva, Lu'lu, Badi'a, Numa, Dora, Moon, Naira, Urika dan Chamelia.
Kesemua koleksi tudung Aida Khalida kini dijual di Butik Galeri Muslimah yang terletak di Neo Damansara PJU 8/1, Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor.
Menurut Aida, perniagaan yang diusahakan dengan kerjasama Galeri Muslimah Sdn. Bhd. (Galeri Muslimah) itu sejak empat bulan lalu memberi cabang baru buatnya sebagai selebriti.
Namun jelas Aida, melangkah ke bidang perniagaan bukan tanda awal buatnya untuk berundur daripada bidang lakonan yang cukup disayanginya.
"Alhamdulillah, bermula dengan impian siapa sangka rupa-rupanya menjadi kenyataan. Syukur kolaborasi perniagaan dengan pemilik Galeri Muslimah iaitu Johari Mohd. Ghazali dan isterinya, Norashiekin Zakaria akhirnya membuka jalan buat saya memasarkan produk tudung jenama sendiri.
"Dahulu orang selalu kaitkan saya dengan fesyen dan apabila saya sudah bertudung ramai pula yang bertanya tentang tudung yang saya gayakan. Ini secara tidak langsung memberi motivasi buat saya dalam menghasilkan produk tudung sendiri.
"Ini boleh dikatakan salah satu usaha saya berdakwah serta menggalakkan lebih ramai muslimah bertudung untuk kelihatan cantik dalam masa yang sama memberi sesuatu kepada peminat yang mahu berjinak-jinak dalam perniagaan sebagai pengedar," katanya yang mula memakai tudung sejak tiga tahun lalu.

SUMBER BERITA

Wednesday, January 19, 2011

Khurafat Sangat Menyeramkan, Menggugurkan Jantung!

Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
FILEM: Khurafat
PENGARAH: Syamsul Yusof
PELAKON: Syamsul Yusof, Liyana Jasmay, Sabrina Ali, Salina Saibi, Fauziah Nawi, Mariani, Nur Huda
PENERBIT: Skop Production
GENRE: Seram
Klasifikasi: 13PG
Mula Tayangan: 13 JANUARI 2011

Sekali Imbas
Tidak dinafikan filem seram pertama arahan pengarah muda, Syamsul Yusof ini sangat menyeramkan! Filem seram yang mengisahkan perjanjian terlarang serta persengkolan antara manusia yang ditionjolkan ini menggunakan teknik kesan bunyi yang berbeza dan sangat mengerunkan serta boleh bikin gugur jantung.
Ulasan Penuh
Jika sebelum ini kebanyakannya filem dari Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23,Syamsul Yusof berbentuk aksi seperti filem KL Drift, KL Gangster dan sebagainya, namun kini penonton pasti terkejut dan berpuas hati dengan percubaan pertamanya mengarahkan filem seram.
Percubaan Syamsul boleh dikatakan percubaan yang terbaik kerana dalam filem Khurafat dia menggunakan atau menonjolkan teknik bunyi, pencahayaan serta hantu yang berbeza dan lebih menggerunkan daripada cerita hantu melayu lain. Terutama sekali, sistem dolby yang digunakan sangat berkesan dan berjaya membuat penonton dikuasai oleh perasaan takut dan disulami pula oleh cahaya yang suram dan scene yang suspen.
Ia terbukti daripada awal filem ini ditayangkan sehingga tamat, panggung sentiasa bingit dengan jeritan ketakutan penonton. Bayangkan sepanjang 90 minit filem ini berlangsung, tiada ketenangan yang diperoleh. Sesuailah apabila filem ini diklasifikasikan sebagai 13PG dan ibu mengandung serta yang ada penyakit jantung disarankan untuk tidak menonton filem ini.
Khurafat berjaya menjelmakan elemen seram dan jalan cerita yang menarik daripada pengarah muda berbakat ini. Biarpun baru pertama kali mengarahkan filem genre seram, namun hasilnya sungguh memberangsangkan. Tidak perlu adegan seksi melampau atau dialog yang sengaja mencetuskan kontroversi, Syamsul nyata bijak memanipulasi setiap elemen di dalam filem ini.
Selain itu, jalan ceritanya yang penuh suspen itu membuatkan ramai penonton tidak dapat menyangka bagaimana pengakhiran ceritanya kerana tekaan penonton pada permulaan ceritanya pasti berbeza atau tidak sama apabila lihat bagaimana cerita ini ditamatkan.
Namun dari segi lakonan, Syamsul ini masih lagi berada ditahap common dan seperti kita sudah jangkakan cara dia bercakap dan perwatakannnya kerana hampir semua filem yang dilakonkannya karakternya masih sama dan tidak ada banyak bezanya. Cuma kali ini Syamsul tidak lagi berpakaian segak seperti orang-orang kaya serta membawa kereta mewah dan bekerjaya.
Manakala lakonan Liayana Jasmay kali ini sangat tidak menonjol dan boleh dikatakan wataknya biasa-biasa sahaja. Cuma dia berpenampilan berbeza dengan bertudung dan menjadi isteri kepada Syamsul. Dalam usianya, bagi penulis dia tidak sesuai memegang watak sebagai seorang isteri. Mungkin wataknya kali ini lebih limited dan tak banyak yang boleh dilakukan dalam filem ini.
Anatara pelakon yang patut dipuji pula adalah Sabrina Ali. Dia yang membawa watak sebagai Anna, bekas kekasih Johan yang menyimpan dendam berperwatakan seorang yang sangat psycho itu sangat berbeza dan berkesan. Dalam filem ini penulis boleh katakan watak Sabrina Ali sangat menonjol dan berkesan kepada penonton.
Terdapat scene yang seram yang jarang filem-filem seram tonjolkan antaranya Syamsul mendukung jenazah yang sudah dikapankan di tengah hutan waktu malam dan juga sewaktu Sabrina dimandikan serta diletakkan dalam peti mayat. Sabrina juga akui ia satu pengalaman yang sangat mengerikan dan berharga buatnya.
Sebagai pengarah, Syamsul pasti tidak lepas dari menggunakan aksi-aksi stunt dalam filemnya. Jika dalam filem KL Drift dia menggunakan kereta lumba sebenar untuk scene kemalangan, begitu juga dalam filem ini kerana dia ada menyelitkan scene kemalangan van jenazah jatuh ke dalam gaung bersama pemandu dan jenazah.
Sinopsis
Khurafat mengisahkan perjanjian terlarang antara manusia dan syaitan. Manusia sebagai insan yang lemah, membelakangkan Allah untuk memperoleh apa yang dicita walau dengan apa cara, akhirnya hanyut dengan tipu daya syaitan.

Kisah bermula dengan Johan (Syamsul Yusof), seorang pembantu perubatan di sebuah hospital berkahwin dengan Ayshah (Liyana Jasmay). Seawalnya, pasangan ini hidup aman dan bahagia, namun tanpa disangka ujian melanda di pertengahan jalan, kesan daripada gangguan misteri yang berterusan.
Tanda tanya dan trauma yang melanda ditambah dengan munculnya bekas teman wanita Johan, Anna (Sabrina Ali). Walaupun mengetahui Johan sudah berumahtangga dan bergelar suami yang sah kepada Ayshah, Anna masih terus mengganggi dan merayu Johan menerimanya semula. Setelah ditolak cintanya, Anna ditemui mati akibat bunuh diri. Kematian Anna adalah kemuncak bagi segala siri kejadian misteri yang berlaku dalam hidup Johan dan isterinya.
Saksikan kesudahan serta kelainan filem seram arahan Syamsul ini yang bakal berada di seluruh pawagam bermula 13 Januari 2011.

SUMBER BERITA

Tuesday, January 18, 2011

Zul Huzaimy Jadi Pengetua Rumah Aktor Seniman!

 Teks oleh Razif Rosdi
Foto oleh Mazlan Yunos Photography

KUALA LUMPUR, 17 JAN 2011: Selepas dilantik sebagai penasihat dan juri program realiti TV Mari Menari (MM), pelakon popular Zul Huzaimy terus mengorak langkah sebagai pendidik dengan menjadi pengetua sebuah program anjuran Seniman iaitu Rumah Aktor Seniman.
Apa yang pasti, pelakon yang bakal muncul dengan filem Haq ini, bakal memulakan tugasan sebagai pengetua Rumah Aktor Seniman bermula 22 Januari ini.
Pun begitu, kursus lakonan yang memakan masa 13 minggu ini pula dikatakan mempunyai persamaan idea dengan beberapa program realiti TV sedia ada seperti Akademi Fantasia, Mari Menari, Mentor dan Satu-Satunya.
Menjawab persoalan itu, Zul yang ditemui portal murai.com.my sebaik saja selesai pelancaran Rumah Aktor Seniman di Finas berkata, program ini bukanlah diciplak dari mana-mana program realiti TV tetapi dibuat berdasarkan pengalaman dirinya serta tenaga kerja yang lain sebagai penggiat seni terutama sekali pelakon.
"Mungkin angka 13 begitu sinonim dengan program TV. Namun, ia tidak ditiru dari mana-mana rancangan TV. Ia hanyalah tempoh pengajian saja. Dulu masa saya belajar pun, time line ini turut digunakan," ujarnya.
Dalam pada itu, Zul menjelaskan pemilihan 30 peserta telah pun dibuat dengan mengadakan uji bakat baru-baru ini. Hasil uji bakat itu, Zul memberitahu pelakon baru yang sudah banyak berlakon iaitu Syed Ali turut menjadi salah seorang peserta untuk kursus yang dianjurkan buat julung kalinya ini.
"Dulu, sebelum saya menyertai Akademi Seni Kebangsaan (ASK), saya perlu menjalani uji bakat dan diuji dengan cara monolog 5 rasa. Method inilah yang saja gunakan untuk uji bakat peserta program ini. Pun begitu, saya dapati kebanyakan dari mereka agak malu dan segan-segan.
"Ada juga peserta yang tak perasan bahawa mereka ada sesuatu dan kami mengambilnya untuk mencungkil bakat yang mereka sendiri tidak nampak. Sebagai contoh Syed Ali. Dia banyak berlakon tetapi dia tak perasan bahawa dia ada sesuatu yang menarik perlu dikeluarkan. Kelemahan yang ada pada mereka akan diasah dalam program ini.
"Kebanyakkan mereka dipilih disebabkan bakat, semangat dan kemahuan serta bijak berfikir. Untuk menyertai kursus ini, peserta perlu membayar yuran agar mereka ada komitmen untuk menghadirkan kelas yang diadakan setiap Sabtu di Laman Budaya dan Aswara," jelasnya.
Bercakap mengenai yuran program ini, Zul turut memperkatakan bahawa pihak penganjur bukan sengaja mahu mengenakan bayaran demi mengaut keuntungan.
"Kami tak buat secara percuma. Yurannya adalah RM550 seorang. Bila kursus dibuat secara percuma, sikap nak tak nak datang kelas mesti ada. Jadi dengan adanya yuran ia sedikit sebanyak membuatkan mereka berfikir dengan komited untuk datang ke kelas.
"Program ini tidak khusus pada setengah peringkat saja. Peserta paling muda yang kami terima berumur 14 tahun dan yang paling senior pula berumur 32 tahun. Anak pelakon Rosnah Johari pun ada menyertainya," katanya.
Sementara itu, Zul menafikan kursus ini sebagai jaminan untuk mereka menjadi pelakon utama filem atau pun drama. Namun, ia adalah sasaran pihak penganjur ke arah itu.
"Itu target saya. Saya akan mantapkan mereka dengan melakonkan watak dengan lebih berkesan. Nak jadi pelakon utama itu semuanya tertakluk kepada rezeki dan populariti. Saya nak tumpukan mereka menjadi pelakon yang berilmu.
"Sebagi produser filem dan drama, mereka akan memikirkan untung rugi. Kehadiran saya di sini hanya sebagai membuka ruang kepada peserta saja. InsyaAllah, nanti akan ada produksi yang buka mata terhadap mereka.
"Sekali lagi, saya mahu jadikan mereka berilmu. Biarlah populariti datang kemudian.Lakonan bukanlah populiriti saja. Saya akan pastikan mereka bukan menjadi sekadar pelakon tambahan saja," terang Zul.
Berikut ialah senari organisasi program
Penasihat: Harun Salim Bachik
Pengarah projek: Yusof Kelana
Pengetua: Zul Huzaimy
Koordinator: Elyas Ismail & Zed Zaidi
Pensyarah tetap: Zul Huzaimy, Rosman Ishak (Aswara), Sharifah Akma Abdullah (Aswara) & Syarifah Mariam Syed Abdullah (Aswara).
Pensyarah jemputan: Elly Suriati. Erma Fatimah & Fauziah Nawi.
Urus setia: Hj Norshah Thamby & Rosilawati Rastam

SUMBER BERITA

Thursday, January 13, 2011

Diana Danielle Trauma Akibat Letupan

Inilah Barisan Finalis Top 5 ABPBH2010
Teks oleh Haswari Ali
KUALA LUMPUR, 12 JANUARI 2011: Pelakon popular, Diana Danielle mengakui masih terkejut dan trauma dengan kejadian letupan yang tercetus sewaktu dia menjalani penggambaran filem Barajiwa arahan Osman Ali di Taman Seputeh, Kuala Lumpur, malam semalam.
Beliau yang ditemui portal murai.com.my berkata, dia bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan namun bersimpati dengan nasib seorang pelakon pembantu filem berkenaan Raffi Husein dan seorang lagi pelakon tambahan yang tercedera akibat kejadian berkenaan.
"Ya, saya masih trauma dengan kejadian malam tadi. Sukar untuk saya gambarkan bagaimana perasaan yang saya alami kerana kejadian letupan kebakaran itu sama sekali tidak dijangka.
"Memang ada perasaan kecewa dengan insiden ini, bagaimanapun saya harapkan agar mereka 2 pelakon yang tercedera akan mendapat rawatan sewajarnya kerana inilah sumber pendapatan mereka," katanya selepas majlis sidang media sempena perlantikannya sebagai jurucakap Snips di sini sebentar tadi.
Raffi mengalami kecederaan di tangan sebelah kiri, dada dan bahagian belakang pinggang, manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan.
Diana berkata, selain dia dan dua pelakon pembantu berkenaan, beberapa pelakon utama filem berkenaan iaitu Remy Ishak Bront Palarae, Mislina dan Fizz Fairuz turut berdepan dengan trauma kerana masing-masing turut berada di lokasi kejadian.
Katanya, kerana masih terkejut dengan kejadian itu, dia mengharapkan supaya dapat menyelesaikan penggambaran filem berkenaan secepat mungkin dan sama sekali tidak akan mengulangi babak letupan berkenaan jika dipinta dilakukan sekali lagi.
Insiden yang mengejutkan itu berlaku sekitar jam 10 malam, ketika para pelakon sedang menjayakan babak letupan di sebuah rumah terbiar sebagai melengkapkan proses penggambaran yang sudah 50 peratus siap.
Sementara itu menurut Osman Ali, pihaknya sudahpun membuat laporan polis berkenaan kemalangan berkenaan dan dua pelakon yang tercedera kini sedang dirawat di Hospital Universiti Malaya sejak malam tadi.
"Sebagai pengarah dan seluruh pihak produksi kami sama sekali terkejut dengan kemalangan ini dan akan mengambil sepenuh rasa tanggungjawab dengan apa yang dialami oleh pelakon yang tercedera.
"Pihak kami juga akan mengadakan sidang media pada malam ini, bagi menjelaskan kejadian sebenar kepada pihak media memandangkan banyak khabar angin yang mengatakan Diana dan Remy telah mengalami kecederaan teruk," katanya.
Barajiwa merupakan filem terbaru arahan Osman Ali selepas Anak Halal yang mengisahkan Thisya lakonan Diana Danielle yang terperangkap dengan cinta seorang jejaka bermasalah lakonan Remy Ishak.

SUMBER ARTIKEL

Wednesday, January 12, 2011

Komen pemenang AJL 25

 
Teks Oleh Zy Zamani
Gambar Oleh Mazlan Photography
KUALA LUMPUR, 10 JAN 2010: Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL 25) telah pun melabuhkan tirainya. Meskipun ramai yang terkejut dan ralat dengan keputusan yang telah juri pilih namun ia sedikit pun tidak akan mengubahkan keadaan.
Bagi yang menang, kemenangan tersebut akan menjadi momen paling indah dalam hidup mereka, buat yang kalah, semoga mereka tidak akan berputus asa untuk terus meningkatkan pencapaian masing-masing.
Berikut adalah komen pemenang AJL25 untuk dikongsi bersama khalayak:
Ana Raffali (Tolong Ingatkan Aku): "Kemenangan ini membakar semangat saya untuk menghasilkan karya yang lebih baik selepas ini. Bukan diri saya sendiri sahaja yang menang bahkan ia merupakan kemenangan buat seluruh pemuzik, penulis lagu dan lirik di Malaysia.
"Saya akan menjamu semua orang yang terdekat dan banyak berjasa kepada diri saya dengan duit kemenangan ini. Kemenangan ini juga membuktikan perjuangan saya dalam bidang ini bukanlah mainan dan saya akan terus memperjuangkan minat saya ini."
Meet Uncle Hussien & Black (Drama King): "Kami akan terus berusaha menghasilkan lagu-lagu yang lain dari yang lain. Lagu Drama King ini sememangnya berbeza daripada lagu yang sedia ada. Kalau boleh kami mahu menghasilkan lagu berentak tradisional yang semakin sudah dilupakan. Malah kami juga masih mencuba untuk berkolaborasi dengan penyanyi yang lain seperti gandingan kami bersama Black ini."
Hafiz (Noktah Cinta): "Syukur kerana pertama kali masuk AJL terus menang dua kategori. Memang saya akui kesan daripada kemalangan yang saya lalui itu ada memberi sedikit tekanan pada saya namun saya kuatkan semangat dan melupakan perkara tersebut. Bagi saya kemalangan itu bukan alasan untuk saya mempamerkan sebuah persembahan yang ala kadar sahaja. Saya tolak tepi perkara tersebut dan memberi fokus kepada persembahan sahaja dan Alhamdulillah berkat latihan selama sebulan saya gembira dengan hasil yang saya perolehi."
Faizal Tahir: "Saya gembira dan terima keputusan juri dengan seadanya. Meskipun diramal sebagai pemenang dan hanya membawa pulang anugerah bagi Persembahan Terbaik, tapi ia bukan untuk dipandang rendah. Setiap tahun peminat masing-masing akan meramalkan artis itu akan menang artis ini akan menang. Semua orang nak menang tapi bagi saya kemenangan bukanlah satu masalah besar dalam hidup ini. Apa yang penting persembahan saya dapat menyentuh jiwa seseorang. Saya harap semua peminat dapat menerima keputusan ini dengan baik."

SUMBER BERITA

Sunday, January 9, 2011

Hos Bual Bicara: Siti Nurhaliza Sedia Terima Kritikan



Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 7 JAN 2011: Melakar nama sebagai seorang penyanyi tersohor negara mungkin sesuatu perkara yang mudah bagi penyanyi No.1 negara, Dato' Siti Nurhaliza ini kerana seperti yang diketahui ramai dia sudah dilahirkan dengan bakat nyanyian sejak dari kecil lagi.
Namun baru-baru ini percaya atau tidak Siti telah membuat kejutan apabila muncul sebagai hos dalam sebuah program bual bicara yang berjudul, Siti yang bakal disiarkan di Astro Ria, jam 9 malam, bermula 12 Februari 2011.
Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah yang membuatkan Siti mahu mencuba cabang seni yang baru dan terasing dalam hidupnya itu? Adakah bidang pengacaraan ini merupakan satu kerjaya seni serius kini selain menyanyi?
Bagi mengetahui selanjutnya mengenai isi hati Siti menerusi bidang pengacaraan yang baru diceburinya itu. Mari ikuti temu bual murai.com.my bersama Siti Nurhaliza yang ditemui selepas dia selesai mengadakan rakaman program Siti episod 1 bersama Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di studio Filem Negara Malaysia, Rabu lalu.
MURAI: Tahniah di atas kemunculan program temubual Siti ini. Ianya satu kejutan. Adakah kejutan ini sudah lama dirancang?
SITI: Sebelum ini saya akui memang tidak bersedia bila banyak produksi menawarkan saya menjadi pengacara program, tapi kini saya sudah bersedia dan Insya Allah bersiap sedia untuk bersaing dengan pengacara-pengacara profesional yang ada. Jadi idea untuk berada dalam program ini sudah ada Cuma baru kini saya berani menampilkannya.
MURAI: Apa yang membuatkan Siti terpanggil untuk mengendalikan program temubual yang sebegini?
SITI: Mungkin dah tiba masanya Siti mencuba satu cabang seni yang lain serta mencabar diri saya. Mengendalikan program temu bual seperti ini merupakan fasa baru buat saya sebagai seorang pengacara. Saya harap dapat buat yang terbaik dan tidak mengecewakan penonton serta peminat di luar sana
MURAI:Adakah Siti mahu jadi another Aznil Hj Nawawi atau pun Oprah Winfrey?
SITI:Siapalah saya jika hendak dikatakan begitu. Sebenarnya, bukanlah nak gantikan atau hendak meniru sesiapa tetapi saya akui pengacara Hollywood popular, Oprah Winfrey adalah idola saya sejak dulu lagi dalam bidang ini dan dia juga inspirasi serta menjadi panduan untuk saya menjadi pengacara yang berjaya.
MURAI: Apakah konsep di sebalik temubual ini kerana ianya turut melibatkan tokoh negara seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.
SITI:Program ini bukan sekadar hiburan semata-mata sebab itu taglinenya adalah Hiburan Dan Inspirasi. Dalam program ini juga turut menjemput tetamu dari ahli perniagaan serta tokoh-tokoh negara yang berjaya untuk menceritakan segala pengalaman mereka bagaimana jatuh naiknya kehidupan mereka sehingga mereka mampu mencapai kejayaan yang membanggakan.
Selain menemu ramah, saya juga akan meninjau dengan turun padang serta membantu orang yang kurang bernasib baik untuk mendapatkan bantuan dalam segmen Sentuhan Kasih. Menariknya, dalam segmen Siti Dan Bakat Minggu Ini, ia turut mengundang tetamu yang mempunyai bakat yang unik. Antaranya, kami menjemput seorang yang pandai menggesek gergaji sehingga ia mampu mengeluarkan bunyi atau muzik yang merdu.
MURAI:Bagaimana dengan pemilihan tetamu atau panel yang diundang untuk menjayakan program ini? Siti atau pihak produksi yang melakukannya?
SITI:Sebenarnya pihak Siti dan produksi akan bersama-sama berbincang serta memberi idea masing-massing siapa tetamu atau panel yang mahu kami temu bual dalam segmen sesi temu ramah ini. Namun antara banyak-banyak tetamu, saya bangga kerana idola saya Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudi untuk bersama saya dalam menjayakan prorgam ini.
MURAI:Setakat ini bagaimana dengan perjalanan program ini. Apakah pengalaman pahit manis yang Siti kutip?
SITI:Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar. Apa yang boleh saya katakan mengendalikan program bual bicara ini ternyata satu pengalaman yang sangat berguna buat saya. Ia agak berbeza kerjanya berbanding menjadi seorang penyanyi. Malah, saya terpaksa turun padang untuk melakukan penggambaran. Pengalaman pahit itu tak adalah, cuma kesukarannya bila ada banyak masalah teknikal apabila membuat pengambaran menggunakan kamera High Definition (HD). Manakala kenangan manisnya pula aya boleh katakana ianya satu pengalaman yang baru dan saya sudah mula menyukainya.
MURAI: Tak mudah sebenarnya menjayakan sebuah program temubual bicara seperti ini. Adakah Siti mengakuinya?
SITI: Ya sama sekali benar. Saya rasa sangat berdebar bila mengacarakan program ini rasa debarannya sangat berbeza daripada menyanyi. Saya juga menghadapi banyak kesukarannya juga. Rasa macam nak pecah kepala kerana saya perlu menggunakan bahasa-bahasa yang sesuai ketika bercakap. Ada kalanya saya perlu formal dan ada kalanya santai. Terus-terang memang agak penat mengendalikan program seperti ini, tapi ia ternyata berbaloi kerana pada masa yang sama juga saya turut menimba ilmu dan pengalaman.
MURAI: Sebagai seorang yang tidak pernah berpengalaman menjayakan program tembual seperti ini, apakah cabaran yang Siti hadapi?
SITI: Cabaran besar saya sebenarnya komunikasi. Memang sukar untuk bertutur dnegan betul bila hati ini berasa amat gementar. Saya juga selalu tersasul dan menyebabkan rakaman terpaksa diluang semula.
Lagipun saya tak suka untuk berkomunikasi agak formal dan lebih senang jika program ini lebih santai. Jadi saya perlu jaga cara intonasi saya berkomunikasi dengan betul.
MURAI:Kejayaan program ini juga mungkin sangat bergantung kepada kecekapan Siti untuk berinteraksi dan menemubual setiap tetamu dan panel. Mungkin ia akan berjaya dan mungkin tidak. Bagaimana Siti hendak menghadapi kritikan ini?
SITI:Ya benar, walau apa pun kritikan yang diberikan kepada saya, Insya Allah saya akan hadapi dan menerimanya dengan terbuka malah saya lebih suka jika penonton di luar sana dapat memberikan kritkan membina. Lagipun saya baru dalam bidang ini, oleh itu segala kritikan itu akan saya gunakan untuk menjadi lebih baik di masa akan datang.
MURAI:Apakah ini juga salah satu cara untuk Siti mengekalkan populariti Siti yang telah sedia ada di dalam industri?
SITI:Ya, saya tak nafikannya. Bukan sahaja untuk mengekalkan populariti saya malah dengan cara ini orang di luar sana serta peminat saya sedar yang saya masih lagi wujud dan berada dalam industri seni ini. Cuma cabang seninya sahaja berbeza dan lebih berkembang
MURAI:Apakah ini bidang kerjaya seni yang seterusnya yang jadi pilihan Siti?
SITI:Saya tidak fikir lagi untuk masa yang akan datang, tetapi bagi program ini saya akan teruskannya sehigga tamat 13 episod. Bagi program yang seterusnya saya serahkan kepada pihak produksi yang menentukannya. Namun saya harap bidang ini akan menjadi salah satu pilihan saya dalam kerjaya seni ini selain menyanyi.
MURAI:Bagaimana dengan komitmen terhadap kerjaya seni yang lain?
SITI:Bagi saya menyanyi tetap nombor 1 kerana saya pun bermula dan berjaya dalam bidang nyanyia. Oleh itu tak mungkin saya akan meninggalkannya atau memberhentikannya begitu sahaja. Lagipun sebelum ini saya dalam proses merakamkan album, namun ianya tertangguh seketika bila saya memberi komitmen sepenuhnya terhadap program ini. Setakat ini kami dah kumpul beberapa material untuk album dan album kali ini lebih menggunakan khidmat komposer-komposer muda seperti Noh Hujan dan Adi Sixth Sense.

SUMBER